بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَ نَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِناَ وَمِنْ سَيِّأَتِ أَعْماَلَناَ، مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هاَدِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لاَإِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
Segala puji bagi Allah, kami memujiNYA, memohon pertolongan dan ampunanNYA, Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri kami dan keburukan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tidak ada yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tidak ada yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah kecuali Allah, tidak ada sekutu bagiNYA dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad SAW itu hambaNYA dan RasulNYA.
Beriman kepada hari kiamat adalah satu ibadah yang akan melahirkan ketaatan dengan rasa harap kepada rahmat Allah serta takut kepada azabNYA. Orang yang yakin dengan hari kiamat pasti yakin dengan tanda-tanda kiamat dan sebaliknya. Sebagai contoh apabila seseorang tidak percaya bahawa Dajjal akan muncul dengan membawa fitnah yang sangat besar bererti dia benar-benar telah tertipu dengan fitnah Dajjal.
Jelas dari Hadis yang diriwayatkan oleh Imran Bin Hushain ra, dia berkata "Aku mendengar Rasulullah bersabda":
.مَا بَيْنَ خَلْقِ اَدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ اَكْبَرُ مِنَ الدَّجَّالَ
"Sejak penciptaan Adam sampai hari kiamat tidak ada satu makhluk yang lebih besar fitnahnya dari Dajjal".
(HR Muslim)
Bagi mereka yang suka berfikir dan merenung pasti akan sampai kepada satu kesimpulan bahawa kehidupan kita di saat dan ketika ini adalah hidup yang sedang meniti saat akhir-akhir zaman yang bererti waktu berlakunya Kiamat Besar sudah amat dekat. Lihatlah di sekeliling kita, di mana-mana dan merata-rata di mana tanda-tanda kiamat kecil telah pun wujud. Paling jelas dan ketara adalah malapetaka dan musibah yang datang bertali arus seperti gempa bumi, banjir besar, kemarau, tsunami, ledakan gunung berapi, peperangan dan pembunuhan yang tidak pernah henti. Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra beliau berkata Rasulullah SAW bersabda :
لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى تَكْثُرَ الزَّلاَزِلُ
"Tidak akan tiba hari Kiamat hingga banyak terjadi gempa bumi".
(HR Bukhari)
Di dalam riwayat yang lain, dari Abdullah Bin Hawalah ra berkata :
وَضَعَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَدَيْ عَلَى رَأْسِي- أَوْ عَلَى هَامَتِي- فَقَالَ ; يَا ابْنِ حَوَالَةَ إِذَا رَأَيْتَ الْخِلاَفَةَ قَدْ نَزَلَتِ الْاَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ فَقَدْ دَنَتِ الزَّلاَزِلُ وَالْبَلاَيَا وَالْاُمُوُر الْعِظَامُ، وَالسَّاعَةُ يَوْمَئِذٍ أَقْرَبُ إِلَى النَّاسِ مِنْ يَدَيَّ هَذِهِ مِنْ رَأْسِكَ
Rasulullah SAW meletakkan kedua tangan di atas kepalaku lalu berkata: “Wahai Ibnu Hawalah jika engkau melihat kekhilafaan telah turun di atas bumi yang disucikan maka telah dekatlah gempa, bencana dan musibah besar dan hari Kiamat, saat itu lebih dekat kepada manusia daripada dekatnya tanganku ini dari kepalamu".
(HR Ahmad)
Sekiranya tidak cukup bencana alam yang datang bertali arus itu renungkan pula peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah yang langsung tidak pernah reda khususnya dari Jazirah Arab. Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَخْرُجَ نَارٌ مِنْ أَرْضِ الْحِجَازِ تَضِيءٌ أَعْنَاقَ الْاِبِلِ بِبُصْرَى
"Tidak akan terjadi hari Kiamat hingga keluar api dari tanah hijaz yang menerangi leher-leher unta di Bushra".
(HR Ahmad)
Perihebatnya peperangan demi peperangan yang berlaku di Timur Tengah yang tidak putus-putus seperti Perang Israel, Perang Iran, Perang Iraq, Perang Libya dan pertumpahan darah yang tidak pernah henti-henti. Dalam Riwayat lain dari Abu Hurairah ra katanya, "Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ
يَفِيْضَ الْماَلُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكثُرَ الْهَرْجُ، قاَلُوْا وَمَا الْهَرْجُ ياَ رَسُولُ اللهِ قاَلَ اَلْقَتْلُ اَلْقَتْلُ اَلْقَتْلُ ثَلَاث
"Hari Kiamat tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah dan sering terjadi Alharj. Sahabat bertanya apakah Alharj itu ya Rasulullah? Nabi SAW menjawab Peperangan Peperangan Peperangan. Beliau menjawab 3 kali”.
(HR Ibnu Majah)
Mari kita merenung gaya hidup kita sendiri dewasa ini dari sudut bagaimana kita beriman dengan Al Quran. Kita sedar kewajipan kita ialah membacaNya, menghayati dan mengamalkanNya dalam kehidupan seharian. Apa yang kita buat? Kita jadikan Al Quran itu bahan perhiasan, pameran di dalam almari cantik di rumah, surau dan masjid. Kita buka dan bacaNya bila ada kematian, itu pun kononnya nak mensedekahkan pahala kepada simati. Langsung tidak difahami dan dihayati maksudNya apatahlagi untuk diamalkan dalam kehidupan baik berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Kita lebih suka mengikut Yahudi, Nasrani dan Majusi dari mengikut Al Quran. Maka benarlah sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Bin Aiyaman ra, ia berkata "Rasulullah SAW bersabda":
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ اَلْيَماَنِ قَالَ; قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ; يَدْرُسُ الْأِسلاَمُ كَماَ يَدْرُسُ وَشْيُ الثَّوْبِ حَتَّى لاَ يُدْرَى ماَ صِياَمٌ وَلاَ صَلاَةٌ وَلاَ نُسُكٌ وَلاَ صَدَقَةٌ, ولَيُسْرَى عَلىَ كِتاَبَ اللهِ فِى لَيْلَةٍ فَلاَ يَبْقَى فىِ اَلْاَرْضِ مِنْهُ آيَةٌ.
"Islam akan lenyap seperti hapusnya warna pakaian hingga orang tidak mengerti apa yang dimaksudkannya dengan puasa, solat, ibadat dan sedekah. Al Quran akan hilang semuaNya tidak ada yang tertinggal walaupun satu ayat.
(HR Ibnu Majah)
Al Quran tidak akan hilang tulisanNya selagi ada mesin pencetak, pembuat CD dan komputer dan lain-lain. “Hilang” bererti hilang penghayatan dan ilmu sebenarnya dari hati-hati dan jiwa manusia kerana sikap kita yang berpaling menjauhi dan membelakangkan Al Quran. Bila hilang penghayatan Al Quran di hati maka hilanglah Islam atau Islam akan tinggal pada nama sahaja. Manakala Solat, Puasa dan Amal Ibadah tidak lagi menjadi pengabdian kepada Allah hanya semata-mata adat dan kebiasaaan sahaja. Itulah yang sedang melanda kita walaupun ramai yang menghafalnya kerana menghafal tanpa menghayati dan mengamalkan terlalu amat jauh berbeza.
Mari pula kita renungkan satu fenomena di kalangan manusia hari ini tak kira bangsa atau agamanya. Rata-rata kita hari ini bertanggapan hamil dan melahirkan bayi itu hal yang menyusahkan, membebankan, menghalang kerjaya, menyebabkan mundur dan menjejaskan kecantikan. Justeru itu, merancang keluarga dan mencegah kehamilan telah jadi lumrah walaupun kita mampu, sihat dan berkeupayaan. Itulah sebenarnya yang dikatakan membuang bayi yang bukan terbatas kepada kehamilan di luar perkahwinan. Kita telah sampai ke peringkat menentang fitrah kejadian manusia itu sendiri. Hanya tinggal sedikit yang meneruskan dengan mengandung dan melahirkan anak. Akan tetapi soalnya pula adakah anak yang dibesarkan itu anak yang soleh atau anak derhaka? Hari ini bagi seorang anak matlamat hidupnya adalah berjaya bukan berbakti kepada ibu bapa dan menjadi anak soleh. Justeru itu kita melihat ibu bapa yang sudah tua dan daif akan dihantar ke rumah penjagaan orang tua kerana anak tidak lagi punya rasa tanggungjawab terhadap orang tuanya. Lebih malang lagi apabila ibunya sendiri dijadikan amah dan orang gaji untuk menjaga anak dan mengurus rumah. Itulah kita hari ini yang bergelar anak. Benarlah hadis Jibril as yang mana Rasulullah SAW bersabda :
سَأُخْبِرُكَ عَنْ أَشْرَاطِهاَ ; إِذَا وَلَدَتِ اْلاَمَةُ رَبْهاَ
"Aku akan memberitahukan kepadamu tanda-tandanya ; jika seorang sahaya wanita melahirkan tuannya."
(HR Muslim)
Terlalu berleluasa perbuatan derhaka hari ini hingga seorang ibu telah menjadi hamba dan kuli kepada anaknya sendiri manakala seorang anak pula menjadi tuan. Tidak hairan bila kita perhatikan di mana ibu bapa bersikap memanjakan anak tanpa batas, tidak mahu mendidik agama, mencegah keburukan dan kemungkaran kerana sayang walhal dalam hal solat contohnya Nabi saw menyuruh agar kita mendidik anak-anak kita bermula dari umurnya 7 tahun dan memukulnya apabila ia enggan solat setelah 10 tahun. Tidak hairanlah kejahatan dan kezaliman bermaharajalela kerana generasi yang kita lahirkan bukan yang soleh tapi yang derhaka dan jauh daripada agama.
Di antara tanda-tanda akhir zaman ialah segolongan manusia yang kelihatan baik tapi sebenarnya jahat, kelihatan membela agama tapi sebenarnya merekalah orang yang menjual agama kerana rakus dunia, merekalah tempat manusia mencari nasihat dan bimbingan tapi sebenarnya merekalah perosak dan sejahat-jahat makhluk, mereka menjadikan pemerintah mereka setaraf dengan tuhan mereka demi pangkat dan kedudukan, kononnya merekalah pewaris para nabi tapi sebenarnya merekalah sumber fitnah dan mereka ini amat jauh dari kitabullah dan sunnah. Apabila golongan yang sepatutnya menjadi payung kepada manusia telah rosak dan menjadi perosak. Maka tidak hairanlah manusia telah menjadi amat jahat dan sesat. Inilah isyarat dari hadis Ali Bin Abi Talib ra, ia berkata bersabda Rasulullah SAW :
عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ ; قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ; يُوْشِكُ أَنْ يَأْتِيَ عَلىَ النَّاسِ زَماَنٌ لاَ يَبْقَى مِنَ الْاِسلاَمِ إِلاَّ اِسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ الْقُرْآنِ إِلاَّ رَسْمُهُ مَساَجِدُهُمْ عاَمِرَةٌ وَهِىَ خَرَابٌ مِنَ الْهُدَى. عُلَماَؤُهُمُ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّماَءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ الْفِتْنَةُ وَفِيهِمْ تَعُوْدُ
"Sudah hampir tiba satu zaman kala itu tiada lagi Islam kecuali hanya nama, tidak ada Al Quran kecuali hanya tulisan, masjid mereka indah tapi kosong dari hidayah, ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong langit dari merekalah keluar fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali".
(HR Al Baihaqi)
(HR Al Baihaqi)
Inilah zaman di mana kita tidak lagi peduli baik dan buruk, hina dan mulia, keluhuran hati dan budi tidak punya tempat, nilai kemanusiaan dan ketuhanan hanya kata-kata kosong demi meraih simpati dan sokongan untuk kepentingan diri sendiri. Kita hidup benar-benar berkiblatkan keinginan dan keserakahan hawa nafsu. Inilah akhir akhir zaman.
Dalam peristiwa akhir zaman terdapat 3 tanda besar Kiamat iaitu Dajjal dan Yakjuj Makjuj yang menjadi sumber segala fitnah dan tipudaya serta kerosakan manakala Al Mahadi pula adalah kebangkitan haq Allah dan RasulNYA yang membawa kebaikan, keadilan dan kesejahteraan kepada sekalian alam. Berdasarkan Hadis ciri-ciri Dajjal itu ialah :
1. Bermata satu yang bermakna : Tujuan wujudnya hanya satu iaitu untuk menyesat dan menipudaya manusia agar menjauhi titah perintah Allah SWT.
2. Di dahinya tertulis kaf-fa-ra bermaksud : Dia adalah makhluk yang tersangat ingkar dan derhaka terhadap Allah tetapi dia bijak menutupi kejahatannya dengan bermacam-macam helah dan tipu daya hingga dia dilihat baik dan perlu diikuti.
3. Di tangannya ada api dan air bermaksud : Dengan pengaruh, kuasa dan kekuatannya, dia mampu menabur rahmat kepada manusia yang beriman kepadanya dan menimpakan musibah kepada yang kufur kepadanya atas dasar tipu daya.
Sehubungan dengan itu mari kita perhatikan Firman Allah SWT yang bermaksud :
فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
"Maka janganlah kamu ditipu oleh penghidupan yang rendah dan janganlah kamu ditipu oleh si penipu terhadap Allah".
(QS Luqman: 33)
Sejak dari Nabi Adam as sehingga ke Junjungan Besar kita Nabi Muhammad saw, tidak pernah mereka menghadapi tentangan dakwah dari makhluk gergasi yang sakti. Yang paling jelas musuh dan penentang kepada kebenaran itu ialah suatu pengaruh dan kuasa yang dipimpin oleh seorang individu contohnya seperti Raja Namrud, Firaun, Abu Jahal dan Abu Lahab. Mereka ini mendustakan agama, menipu dan memperdaya manusia agar menduakan Allah dan mengikuti mereka.
Apabila kita hanya duduk berpeluk tubuh sambil menunggu-nunggu munculnya lelaki bermata satu dan selepas itu barulah kita bangun untuk berjuang mempertahankan aqidah kita, bererti kita hidup dalam keadaan benar-benar tertipu dan terpedaya dengan pengaruh dan kuasa Dajjal. Tidakkah kita pernah terfikir bila Hadis mengatakan bahawa Dajjal itu adalah fitnah dan tipudaya maka tidak mustahil tipudaya itu sudah lama bersarang di dalam diri dan kehidupan kita. Oleh itu marilah kita bermuhasabah akan liku-liku perjalanan hidup kita sendiri semoga Allah SWT memberi kita petunjuk dan kefahaman agar kita lebih mengerti dan mengenal tipudaya serta kejahatan mereka.
Terlalu ramai di kalangan kita yang tidak bersolat, yang ambil ringan bila lapang solat bila sibuk tidak solat. Ramai yang solat Jumaat dan Hari Raya sahaja atau solat terawih tapi solat 5 waktu ditinggalkan. Kita tahu ia rukun Islam dan tiang agama tapi kita sesuka hati meruntuhkannya. Ramai di kalangan kita yang akan berpuasa satu hari atau tiga hari yang pertama sahaja bila datang Ramdhan dengan alasan gastrik, sakit dan kerja berat walhal kerja dalam pejabat yang berhawa dingin. Tidakkah kita sedang mempersenda dan memperolok-olokkan perintah Allah dan RasulNYA?. Bukankah benar kita sedang tertipu dan terpedaya. Terlalu ramai pula di kalangan kita yang terjebak dengan hiburan dan maksiat, kelab malam, dangdut, pub dan disko. Siapakah penaung, pengunjung dan pelanggannya? Kitalah bukan orang lain. Kalau kita orang yang berniaga perhatikanlah betapa rakus dan tamak halobanya perangai kita. Bukan kita nak bersabar dengan masalah-masalah dan mengharap rezki dari Allah SWT, malah kita akan cari bomoh untuk buatkan tangkal dan pelaris atau air jampi supaya murah rezki. Akhirnya rezki yang dicari entah ke mana, yang pasti Aqidahnya sudah rosak dan Syirik kepada Allah SWT. Apabila berniaga tidak menjadi dan hidup kesempitan salah satu jalan keluar ialah mencuba nasib dengan Judi, Spekulasi dan Skim Cepat Kaya.
Lihatlah kepada ahli keluarga, isteri dan anak-anak kita. Bila kita beragama sesuka hati, bukan ikut perintah Allah dan Rasul, amat sukar untuk keluarga kita jadi elok. Kalau yang perempuan tutup rambut tapi dada terdedah, tangan terdedah dan pakaiannya dengan jelas menampakkan bentuk tubuh. Rasa nak bergaya, nak mengikut fesyen dan trend mengatasi rasa nak akur titah perintah Allah. Hatta suami atau bapanya ahli masjid dan surau tapi anak dan isterinya berpakaian seolah-olah bertelanjang. Lebih pelik lagi apabila ramai di kalangan wanita Islam sendiri yang membantah hukum menutup aurat. Ada maksud Hadis yang mengatakan bahawa “Zina itu bermula apabila kaum wanita mula memendekkan kaki kainnya”. Maka tidak hairanlah bila penzinaan berlaku merata-rata. Masih terlalu amat banyak kerosakan yang melanda ummah hari ini kalau nak dibicarakan dengan terperinci. Kesimpulannya ialah nilai agama, aqidah dan pegangan tiada tempat di dalam hati dan jiwa. Agama hari ini adalah adat, budaya dan ritual. Oleh sebab itu melanggar larangan Allah SWT tidak mendatangkan rasa bersalah, kesal, maupun rasa berdosa. Agama bukan dihayati dan diamalkan, agama hanya diperlembagakan. Begitu kufur, sesat dan mungkar dan begitulah hebat kesan serta pengaruh tipudaya Dajjal di dalam setiap sendi kehidupan kita hari ini.
Dalam situasi yang amat parah ini, adakah langsung tiada jalan keluar dan penyelesaian? Mari kita teliti Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنفُسَكُم بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ فَتُوبُوا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ فَاقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ عِندَ بَارِئِكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Dan tatkala Musa berkata kepada kaumnya, "Hai kaumku sesungguhnya kamu telah menganiaya diri-diri kamu dengan sebab menyembah anak sapi. Lantaran itu minta ampunlah kepada tuhan kamu dan bunuhlah diri-dirimu, yang demikian itu baik buat kamu pada sisi tuhan kamu. Lantas ia ampunkan kamu kerana sesungguhnya ialah pengampun penyayang".
(QS Al Baqarah: 54)
Insyallah yakinlah dengan janji Allah SWT, asalkan manusia itu mahu kembali kepada Allah SWT, menginsafi dan benar-benar menyesal akan maksiat, dosa dan kemungkaran lantas taubat dengan ikhlas maka janji Allah SWT pasti keampunan dan kemenangan.
Masalahnya ialah ramai di kalangan kita yang amat sombong, bongkak dan ego untuk mohon ampun kepada Allah. Bertaubatlah kepada Allah SWT dengan rasa berdosa, penyesalan dan mengucapkan istighfar di hati iaitu :
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمْ. أَلَّذِيْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ
Maksud Hadis dari Abu Hurairah ra katanya saya dengar Rasulullah SAW bersabda :
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ ; سَمِعْت رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ ; وَاللهِ إِنّىِ لَأَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِيْنَ مَرِّةً
"Demi Allah sesugguhnya saya beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali".
(HR Bukhari)
Sedangkan nabi yang maksum, kekasih Allah dan pastinya ahli syurga masih beristighfar lebih dari 70 kali sehari bagaimana pula kita yang terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat. Sesudah taubat dan istighfar kepada Allah SWT marilah kita perbanyakkan selawat ke atas nabi kita Muhammad SAW :
أَللهُمَّ صَلّىِ عَلَى مُحَمَّدْ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهَ وَسَلِّمْ
Sesuai dengan Firman Allah SWT :
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
"Sesungguhnya Allah dan Malaikatnya berselawat ke atas nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah atasnya dan berilah salam sesungguhnya".
(QS Al Ahzab:56)
Manakala Hadis Nabi ada menyebutkan :
"Barangsiapa yang berselawat atasku sekali, Allah dan MalaikatNYA berselawat atasnya 10 kali".
Kita mengaku umat nabi dan amat mengharapkan syafaat nabi malangnya kita tidak pedulipun untuk berselawat keatas nabi. Selepas istighfar dan selawat, yang paling penting ialah menanamkan tauhid kepada Allah SWT di hati dengan banyak mengingat Allah, dengan kalimah tauhid iaitu :
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ مُحَمَّدُ رَسُوْلُ اللهُ
Kenapakah Tauhid? Risalah setiap para nabi dan rasul adalah tauhid. Allah SWT berfirman:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
"Dan sesungguhnya kami mengutus Rasul pada setiap umat untuk menyerukan sembahlah Allah dan jauhilah taghut.
(QS An Nahl : 36)
Tauhid adalah haq Allah yang paling besar atas hamba-hambaNYA, di dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan dari Muadz ra bahawa Rasulullah SAW bersabda :
حَقُّ اللهُ عَلَى الْعِباَدِ أَنْ يَعْبُدُوْهُ وَلاَ يُشرِكُواْ بِهِ شَيْأً
"Haq Allah atas hamba-hambaNYA ialah bahawa mereka beribadah hanya kepadaNYA dan mereka tidak menyukutukanNYA dengan sesuatu yang lain".
(HR Bukhari dan Muslim)
Kita mesti sedar bahawa bukan semua yang telah Islam itu automatik menjadi orang yang bertauhid, maka teramat penting ia ditanam ke dalam hati dan jiwa dengan memperbanyak Zikir. Mengapakah penting tauhid itu ditanamkan di HATI atau mengingat Allah SWT di HATI? Mudah sahaja kerana HATI itu adalah pemerintah tertinggi dalam diri manusia tersebut. Bila ia bersih/baik, maka baiklah sekalian anggota dan sebaliknya. Di Yaumil Mahsyar kelak, perkara pertama yang akan dinilai oleh Rabbul Jalil Allah SWT adalah HATI, dan amalan pertama yang dihisab adalah solat. Maka oleh itu menjaga hati, kesucian dan keikhlasannya tersangat utama. Sesuai dengan Firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا. وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
"Sesungguhnya menanglah orang yang mensucikan hati dan rugilah orang yang mengotorkannya:
(QS As Syams: 9-10)
Tiada siapa yang ingin rugi dalam kehidupan, maka sangat-sangat penting banyak mengingati Allah di hati dengan Istighfar, Selawat dan Kalimat Tauhid. semoga hati kita selalu bersih, suci dan ikhlas kepada Allah SWT dan tidak dikuasai dan dikotori oleh nafsu ummarah bissu' yang sentiasa mengajak manusia melakukan keji dan mungkar. Mengingat Allah SWT jadi kunci untuk menanamkan tauhid kepada Allah kerana banyak Firman Allah yang secara khusus memerintahkan kita supaya mengingati Allah sama ada yang wajib seperti solat, puasa, zakat dan haji maupun yang sunat iaitu zikrullah di hati. Di antara lain Firman Allah :
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
"Dan ingatlah tuhanmu di dalam hati dengan merendah diri dan takut"
(QS Al Araf :205)
Dan Firman Allah :
وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya supaya kalian mendapat kemenangan".
(QS Al Jumaah: 10)
Dalam setiap amal perbuatan tersangat penting adalah ikhlas kepada Allah kerana firman Allah.
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٲلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ
“Tidaklah mereka diperintah kecuali supaya menyembah Allah dengan IKHLAS dalam beragama, lurus dan mendirikan solat, mengeluarkan zakat. Itulah Agama yang lurus.”
(QS AL Baiyyinah: 5)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda di dalam Hadis Qudsi bahawa “Allah SWT berfirman, kelak di hari akhirat akan dihadapkan di hadapan Allah SWT seseorang itu dengan buku catatan amalnya. Lalu Allah SWT berfirman “buangkanlah” sedang kedua malaikat bertanya kepada Allah “Mengapa Ya Allah? Demi kekuasaan engkau kami tidak melihat di dalamnya kecuali yang baik-baik sahaja. “Buangkanlah” kerana segala amal yang dilakukan bukan kerana ku. Aku sesungguhnya tidak menerima kecuali amalan yang dilakukan kerana mencari redha ku “
(HQR Bazzar dan Thabrani)
Ketahuilah bahawa tauhid kepada Allah dengan mengikhlaskan hati dalam beragama, itulah DASAR agama yang mesti kita tanam dalam diri sambil menjadikan Al Quran dan Sunnah sebagai pegangan dan landasan. Rasulullah SAW bersabda :
"Telah aku tinggalkan untuk kalian 2 perkara, dengan keduanya kalian tidak akan sesat selamanya iaitu Kitabullah dan SunnahKu."
(HR Al Hakim)
Percayalah apabila tauhid mula bertapak dalam diri sedikit demi sedikit dosa dan maksiat akan ditinggalkan, perintah Allah SWT mula dikerjakan sehingga hati mulai benci kepada kejahatan dan kemungkaran dan menyukai amal soleh serta sunah nabi. Akan wujud selepas itu ukhwah islamiyah iaitu rasa kasih sayang sesama umat islam kerana janji Allah di dalam firmannya :
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
"Dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpisah-pisah dan ingatlah nikmat Allah atas kamu tatkala kamu bermusuh-musuhan lalu ia jinakkan antara hati-hati kamu lantas dengan nikmat Allah kamu jadi bersaudara padahal kamu dulunya di jurang neraka tapi Ia selamatkan kamu. Begitulah Allah terangkan tanda-tandanya agar kamu dapat petunjuk".
(QS Ali Imran: 103)
Demi mengembalikan maruah dan kegemilangan Islam kita mesti faham bahawa Allah menghendaki setiap diri itu mesti menanamkan tauhid kepada Allah dengan ikhlas kerana itulah tali Allah. Allah akan mempertautkan hati dan jiwa umat islam dengan rasa persaudaraan di atas jalan agama Allah. Hati-hati yang telah Allah jinakkan ini lantas jadi bersaudara dan itulah dia penyatuan ummah. Penyatuan ummah bukan atas dasar harta, ekonomi atau kebangsaan tetapi atas dasar tauhid kepada Allah. Insyallah umat akan selamat dari belenggu, fitnah, tipudaya Dajjal dan Yakjuj makjuj. Penyatuan ummah atas dasar tauhid, itulah dia kebangkitan Islam di akhir zaman iaitu kebangkitan Al Mahadi yang dengan kekuasaan Allah di datangkan untuk menyelamatkan manusia dari kejahatan dan kezaliman Dajjal dan Yakjuj Makjuj.
Kedatangan Al Mahadi disebut dalam banyak hadis-hadis seperti diriwayatkan dari Abu Said Al Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :
يَخْرُجُ فِيْ آخِرِ أُمَّتِي الْمَهْدِيُّ ; يُسْقِيْهِ اللهُ الْغَيْثَ، وَتَخْرُجُ الْأَرْضُ نَباَتَهاَ، وَيُعْطى الْماَلَ صِحاَحاً، وَتَكْثُرُ الْماِشِيَةُ، وَتَعْظُمُ الْأُمَّةُ، يَعِيْشُ سَبْعاً أَوْ ثَماَنِياً
"Pada akhir umatku akan keluar al-Mahdi. Allah menurunkan hujan kepadanya. bumi mengeluarkan tumbuhannya, harta akan dibahagikan secara merata, binatang ternak melimpah dan umat menjadi mulia, dia akan hidup selama tujuh atau delapan."
(HR Al Hakim)
Semoga kedatangan dan pemerintahan Al Mahadi akan melimpahkan cahaya agama Allah, menyinari sekalian alam, memerdekakan manusia dari kejahilan dan kesyirikan serta memenuhi bumi ini dengan keadilan dankesejahteraan. Wallahu'alam.
semua tanda kiamat seperti hadis-hadis Rasulullah itu telahpun berlaku...termasuk tanda-tanda besar... :-)
ReplyDeleteMarilah kembali mengenal Allah mengikut spec Allah. Biar Allah yang mengenalkan diriNya sendiri mengikut kehendakNya, bukan mengikut kehendak ustaz.
ambo setuju benar dgn pendapat2 penulis blog ini.Memang masih ramai lagi yg memahami agama mengikut kehendak sendiri bukan mengikut kehendak ALLAH. Sehinggakan ramai yg terlupa kadang kala kita dah meletakkan ALLAH di tahap yg rendah. Apabila ALLAH memerintahkan kita melaksanakan segala perintah ALLAH, sebaliknya kita pula yg perintah ALLAH dulu. Contohnya apabila sseorang meletakkan ayat seribu dinar didlm rmh ataupun kedai atas niat nak kan "rezki dari arah yg tak diduga". Yg ALLAH swt perintah supaya kita jadi "Bertaqwa" kita ketepikan, sebaliknya kita asyik tuntut rezki dari ALLAH.
ReplyDeleteBegitu juga dgn komen dari "Anonymous" diatas. ALLAH swt memerintahkan supaya kita berusaha utk mengenal ALLAH, sebaliknya dia kata "biar ALLAH yg mengenalkan diriNya sendiri. maksudnya kita tak payah lah buat apa2 sehingga ALLAH swt sendiri mengenalkan dirinya. Siapa perintah siapa ni?
Mungkin ini lah salah satu dari tipudaya Dajjal ataupun sifat2 dajjal yg masih menebal dlm diri kita
ambo kelate